IPTSkills      Peraturan Institut
PERATURAN INSTITUT

Tafsiran

Dalam Peraturan Tatatertib ini, melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang lain:

"Institut" ertinya  Institute Of Professional Techniques And Skills;

"Iptskills" ertinya Iptskills Sdn Bhd;

"Asrama" ertinya apa-apa kemudahan dengan apa-apa jua nama yang dipanggil dan yang disediakan oleh Institut sebagai tempat penginapan;

"Barang atau harta Iptskills" ertinya harta dan barang-barang kepunyaan atau milik Iptskills di bawah kawalan Institut;

"Dadah" ertinya sebarang jenis dadah atau bahan yang pada masa ini disenaraikan dalam Jadual Pertama di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234);

"Intervensi" ertinya satu kaedah mengenal pasti pelajar yang gagal mencapai tahap disiplin yang diperlukan;

"Jawatankuasa Disiplin Institut (JKDI)" ertinya jawatankuasa tatatertib pelajar di Institut yang berfungsi membicarakan kes/kesalahan tatatertib;

"Judi" ertinya bermain apa-apa permainan beradu nasib atau gabungan beradu nasib dan kemahiran, bagi wang atau nilai wang dan termasuklah apa-apa pertandingan, apa-apa pertaruhan atau apa-apa loteri;

"Orang Yang Diberi Kuasa" ertinya mana-mana orang atau kumpulan orang yang diberi kuasa dengan sewajarnya untuk bertindak bagi pihak Institut;

"Pelajar" ertinya pelajar yang berdaftar dengan Institut Of Professional Techniques And Skills;

"PPB" ertinya Pengurus Pusat Bertauliah;

"PPD" ertinya Pegawai Pengesah Dalaman;

"PP" ertinya Pegawai Penilai;

"Peraturan Asrama" ertinya suatu peraturan tatatertib asrama yang ditetapkan dan terkandung di dalam Peraturan Tatatertib ini;

"Tenaga Pengajar" ertinya pensyarah Institute Of Professional Techniques And Skills;

"Kesalahan Tatatertib" ertinya suatu kesalahan di bawah Peraturan Tatatertib ini;

"Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)" ertinya Majlis Perwakilan Pelajar Institute Of Professional Techniques And Skills;

"Minuman Keras" ertinya apa-apa minuman yang mengandungi apa-apa kekuatan alkohol;

"Nilai" ertinya mengikut harga pasaran semasa barangan berkenaan;

"Racun" ertinya apa-apa bahan yang dinyatakan melalui nama dalam ruang pertama Senarai Racun dalam Akta Racun 1952 (Akta 366) dan termasuklah apa-apa sediaan, larutan, sebatian, campuran atau bahan semulajadi yang mengandungi bahan itu;

"Senjata Berbahaya" ertinya apa-apa jenis senjata berbahaya yang dibawa tanpa kebenaran yang sah bagi maksud yang sah yang disenaraikan di bawah Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958;


Peraturan Am

Seseorang Pelajar tidak boleh: 

1.1.1       Berkelakuan sama ada di dalam atau di luar Institut, secara yang boleh merosakkan atau mendatangkan mudarat kepada kepentingan, kesentosaan atau nama baik Institut atau kepada kepentingan, kesentosaan atau nama baik mana-mana pelajar, kakitangan, pegawai atau pekerja Institut atau kepada ketenteraman atau keselamatan awam atau kepada akhlak kesopanan atau tatatertib.

1.1.2       Melanggar mana-mana peruntukan dan mana-mana undang-undang bertulis (termasuk undang-undang Sivil & Syariah), sama ada di dalam atau di luar Institut. 

1.1.3       Menggendalakan / melengahkan atau dengan apa-apa cara mengganggu atau menyebabkan digendalakan atau dengan apa-apa cara diganggu, apa-apa pengajaran, pengajian, penyelidikan, kerja pentadbiran atau apa-apa aktiviti yang dijalankan atau di bawah / arahan atau dengan kebenaran Institut atau melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menyebabkan penggendalaan atau penggangguan itu.

1.1.4       Menahan, menghalang atau mengganggu atau menyebabkan ditahan, dihalang atau diganggu, mana-mana kakitangan, pegawai atau pekerja Institut atau seseorang yang bertindak di bawah arahan atau kebenaran kakitangan, pegawai atau pekerja itu, daripada menjalankan kerja, kewajipan atau tugasnya. Atau melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menyebabkan penahanan, penghalangan atau penggangguan itu. 

1.1.5       Menahan atau menghalang atau menyebabkan ditahan atau dihalang, mana-mana pelajar daripada mengambil bahagian dalam sesuatu aktiviti yang sah atau melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menyebabkan penahanan atau penghalangan itu. 

1.1.6       Mengorganisasi, mengapikan atau menyertai pemboikotan sesuatu peperiksaan, tutorial, kelas atau lain-lain aktiviti yang sah dijalankan oleh atau di bawah arahan atau dengan kebenaran Institut. 

1.1.7       Merosakkan dengan apa-apa cara atau menyebab dirosakkan dengan apa-apa cara, apa-apa harta IPTSkills atau melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menyebabkan kerosakan. 

1.1.8       Mengusik, mengganggu, mengalih atau dengan apa-apa cara melakukan sesuatu ke atas apa-apa jua benda, objek, barang atau harta, atau dengan diketahuinya melakukan apa-apa perbuatan atau menyebab apa-apa perbuatan dilakukan di dalam Institut dengan tujuan untuk menyebabkan atau mungkin menyebabkan apa-apa halangan, kesusahan, kegusaran, kerugian atau kerosakan kepada seseorang.

1.1.9       Melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peraturan Institut yang merangkumi peraturan pemakaian / sahsiah rupadiri pelajar di Institut, peraturan asrama dan juga mana-mana peraturan di Institut yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa. 

1.1.10    Membawa masuk atau keluar di dalam atau daripada bilik peperiksaan apa-apa buku, kertas, dokumen atau gambar, KECUALI yang dibenarkan oleh pemeriksa atau menerima apa-apa buku, kertas, dokumen atau gambar daripada mana-mana orang lain semasa di dalam bilik peperiksaan itu, KECUALI bahawa seseorang pelajar boleh, semasa ia di dalam bilik peperiksaan itu, menerima daripada penyelia apa-apa buku, kertas, dokumen, gambar atau lain-lain benda yang dilarang oleh pihak Institut. 

1.1.11       Berhubung dengan mana-mana pelajar dalam masa peperiksaan dengan apa cara jua pun. (Dirujuk kepada JK Disiplin Institut)

1.1.12       Menipu / berbohong kepada PPB, PPD, PP atau Tenaga Pengajar dan lain-lain kakitangan Institut untuk kepentingan sendiri. 


JADUAL WAKTU

1.5.1       Pelajar diwajibkan menghadiri kelas mengikut jadual masing-masing dan/atau yang telah ditetapkan oleh Institut. Pelajar juga diwajibkan menghadiri semua aktiviti yang dirancang oleh pihak Institut. 

KEHADIRAN

1.3.1       Pelajar diwajibkan menghadiri kelas dan pelajar tertakluk kepada peraturan-peraturan berikut: 

a)     Setiap Pelajar mestilah sentiasa patuh kepada Peraturan Institut. 

b)    Bagi Pelajar yang tidak dapat menghadiri kelas / aktiviti / program Institut atau asrama atas sebab yang tidak dapat dielakkan dikehendaki mendapatkan pengecualian bertulis daripada PPB / PPD / Tenaga Pengajar / Warden. 

CUTI

1.4.1       Pelajar adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan berikut: 

a)     Pelajar-pelajar tidak dibenarkan mengambil cuti KECUALI kecemasan seperti kematian ahli keluarga terdekat pelajar dan apa-apa sebab yang difikirkan sesuai oleh pihak pengurusan Institut. Cuti adalah diluluskan oleh PPB / PPD dengan sokongan Tenaga Pengajar dan Warden; dan 

b)    Pengesahan cuti sakit hendaklah disertakan dengan Sijil Sakit dari hospital / klinik kerajaan dan hendaklah diserahkan sekembalinya ke kelas kepada Tenaga Pengajar / Warden bertugas. 




Institute Of Professional Techniques & Skills

42-1, Jalan PJU 7/16, Mutiara Damansara, 47800 Petaling Jaya, Selangor.

( Koordinat : 3°09'36.7"N 101°36'09.4"E )

Tel : 03-77 334 111     HP : 011-3232 5300
 
Fax : 03-2050 2750
 
Email : info@iptskills.edu.my